Dasar Pengangkutan perlu berpaksikan realiti semasa: ANWAR
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap polisi dan dasar yang digubal perlu berteraskan realiti cabaran semasa serta keperluan masa depan, termasuk mengambil kira ketidaktentuan akibat krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada kos dan rantaian bekalan.
Menurut beliau, dalam menangani isu diesel, kerajaan perlu memahami kesannya terhadap majoriti rakyat khususnya sektor pengangkutan, petani, nelayan, peladang serta pengusaha bas pelancongan.
“Pendekatan kita mesti berasaskan keupayaan mendengar, memahami dan menyelesaikan secara berperingkat, dengan tuntas serta adil demi menjamin kelangsungan ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan Malaysia di Putrajaya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam perkembangan sama, beliau turut dimaklumkan mengenai pelaksanaan pelbagai projek strategik sepanjang tahun, termasuk kemajuan projek rel berskala besar seperti East Coast Rail Link (ECRL) serta pembangunan infrastruktur pengangkutan yang menjadi pemangkin keterhubungan dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pengangkutan merangkumi usaha memperkukuh kerangka perundangan melalui pindaan akta berkaitan, meningkatkan penggunaan pengangkutan awam secara lebih menyeluruh serta memperkasa modal insan dan pembangunan kerjaya dalam sektor berkenaan.



