‘Game Changer’ Jadi Teras RPTM 2026-2035, Pacu 208 Inisiatif Pendidikan Tinggi Negara
SELANGOR: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menjadi kerangka utama dalam mengemudi hala tuju sektor pendidikan tinggi negara bagi tempoh sedekad akan datang.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata, sebanyak 208 inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan setiap bahagian mempunyai peranan yang jelas dan tersusun.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi hantaran media sosial, Program Pengukuhan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2026 serta pelaksanaan RPTM 2026-2035 menetapkan elemen ‘game changer’ sebagai teras utama dalam memastikan berlakunya anjakan besar terhadap masa depan pendidikan negara.
“Pelaksanaan ini tidak hanya tertumpu kepada pembaharuan semata-mata, sebaliknya mengutamakan kesinambungan daripada pelan sedia ada bagi menjamin kelancaran sistem penyampaian,”
“Aspek ‘kejelasan visi’ (clarity of vision) menjadi keutamaan bagi memastikan setiap sasaran dapat dicapai dengan tepat selain menerapkan konsep ‘creative destruction’ yang menuntut kesediaan warga pendidikan meninggalkan amalan lama yang tidak lagi relevan demi membina sistem lebih progresif” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KPT seperti politeknik dan kolej komuniti akan terus diperkasa agar berkembang seiring dengan universiti tempatan.
“KPT turut memperkukuh diplomasi pendidikan di peringkat global melalui penubuhan Suruhanjaya Bersama (Joint Commission – JC) bersama negara strategik termasuk Rusia, Turki dan China” katanya
Menurutnya, kejayaan penganjuran Festival Idea (FOI) membuktikan keupayaan Malaysia dalam menerajui wacana intelektual di peringkat antarabangsa sehingga menjadi model rujukan negara jiran serta rantau ASEAN.




