PULAU PINANG: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam telah menghadiri Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 (HPPK 2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Pulau Pinang.
Majlis ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Veerapan berkata, program tahunan ini bertujuan untuk mengiktiraf komuniti penjaja dan peniaga kecil di negara ini.
“Selain itu, produk hasil usahawan juga dipamerkan kepada orang awam.
“Dalam ucapan perasmian, YAB menyeru supaya golongan penjaja dan peniaga kecil terus memainkan peranan bagi membantu memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.
“Karnival HPPK2024 ini dianggarkan berjaya menarik 40,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari ia berlangsung,” kata Veerapan.
Dalam pada itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 20 orang usahawan yang telah berjaya melonjakkan perniagaan mereka sehingga mencapai nilai jualan melebihi RM300,000 setahun.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ewon Benedick; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.