BeritaKolumnis

Harimau Malaya mulakan kempen kejuaraan dengan langkah positif

Dr.Mohd Fauzi Fadzil

Kesediaan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk membantu skuad Harimau Malaya mencapai sasaran Peta Hala Tuju F:30 telah membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya membenam cabaran Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Kejayaan itu adalah permulaan kepada matlamat yang lebih besar iaitu menempatkan skuad Harimau Malaya dalam saingan kempen Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2026, kempen tersebut menurut TMJ perlu dimulakan dengan langkah positif.

Wajah baru skuad Harimau Malaya telah diwarnakan oleh TMJ dengan membawa masuk jurulatih, ketua pegawai eksekutif (CEO) serta pengarah teknikal baru bagi membolehkan teknologi dan pentadbiran terkini di bawa masuk ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pembaharuan yang dilakukan oleh TMJ itu mendapat dokongan seluruh rakyat Malaysia, hanya keputusan beliau untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya dengan pemain warisan gred A menjadi pertikaian beberapa pihak.

Pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan TMJ itu risau sekiranya kemasukan pemain warisan ke dalam skuad Harimau Malaya bakal mengubah wajah serta identiti pasukan itu sehinggakan menjauhkan penyokong sebagai pemain ke-12 daripada terus memberi sokongan.

Namun ternyata dakwaan tersebut meleset apabila penyokong skuad Harimau Malaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil semasa perlawanan bertemu Vietnam untuk Kelayakan Piala Asia 2027 walaupun sembilan pemain warisan tersenarai mewakili Malaysia, seramai 61, 512 penonton hadir dalam perlawanan tersebut.

Kemenangan skuad Harimau Malaya diraikan sebagai oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mempersoalkan isu pemain warisan, penantian penuh bermakna selama 10 tahun untuk melihat kemenangan ke atas Vietnam diraikan dengan penuh semangat patriotik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ternyata telahan TMJ benar bahawa formula untuk merealisasikan Peta Hala Tuju F:30 adalah memulakan kempen Piala Asia dan Dunia secara positif, penyokong sangat dahagakan kemenangan tanpa mempedulikan cara untuk memperolehnya.

Pendekatan TMJ yang dilihat radikal akan sentiasa mendapat dokongan seluruh rakyat Malaysia selagi ia tidak bertentangan dengan peraturan dan nilai moral, justeru langkah mengambil pemain warisan bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya tidak seharusnya dipersoalkan.

Pendekatan tersebut bukan hanya dilakukan Malaysia, malah negara ASEAN lain seperti Indonesia, Vietnam, serta Thailand turut menggunakan pendekatan yang sama.

Seharusnya pendekatan yang digunakan oleh TMJ ini disokong demi untuk melihat saingan dan mutu bolasepak Malaysia melangkah setapak ke hadapan, kemasukan pemain warisan ke dalam arena bolasepak Malaysia ini bakal menyuntik persaingan dan standard yang lebih tinggi dalam kalangan pemain tempatan.

Pendekatan mengambil pemain warisan boleh dianggap baik kerana mereka memiliki pemahaman yang lebih baik tentang budaya Malaysia dan Bahasa Melayu, identiti Malaysia yang mereka warisi daripada ibu atau bapa mereka menjadi pemangkin kepada kelebihan tersebut.

Identiti Malaysia yang mereka warisi itu sedikit-sebanyak mengikat pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya secara semangat dan emosi untuk menumpahkan seluruh jiwa dan raga demi mengharumkan nama Malaysia.

Mungkin pendekatan TMJ ini ada kekurangannya, namun sehingga kini pendekatan tersebut terbukti membuahkan hasil yang didambakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pendekatan tersebut berjaya mengubah sokongan rakyat Malaysia yang sekian lama suram terhadap skuad Harimau Malaya.

Malah Ultras Malaya turut kembali memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya setelah hampir setahun melakukan boikot hadir ke stadium lantaran rasa tidak puas hati terhadap beberapa isu termasuk pengurusan pasukan kebangsaan serta dakwaan kepincangan dalam FAM dan perlawanan Liga Malaysia.

Justeru, selagi tiada pendekatan lain mampu menggantikan pendekatan yang dilakukan oleh TMJ maka seharusnya semua pihak berhenti bermain polemik dan mempamerkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.

Dr.Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia

Show More

Related Articles

Back to top button