Berita

Infrastruktur jeti dinaik taraf pacu tarikan pelancongan Port Dickson

LINGGI: Usaha memperkasa sektor pelancongan marin di Negeri Sembilan terus diperkukuh menerusi projek menaik taraf Jeti Kampung Telok Pelandok dan Pengkalan Kempas bernilai keseluruhan RM1 juta, sekali gus meningkatkan kemudahan awam serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, projek berkenaan memberi fokus kepada peningkatan keselamatan dan keselesaan pengguna jeti di samping menyokong aktiviti pelancongan dan perikanan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penambahbaikan infrastruktur itu turut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkukuh asas pelancongan Port Dickson sebagai destinasi utama pelancongan Negeri Sembilan.

“Dua produk baharu ini diyakini mampu menambah pilihan dan pengalaman kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini. Ekosistem pelancongan sedia ada sudah tersedia dan kita juga bersedia dengan kemudahan seperti kapal cruise, tarikan kelip-kelip pada waktu malam serta kedai makanan yang menawarkan pelbagai menu menarik.

“Pelancong tidak akan berasa bosan kerana terdapat banyak lokasi pelancongan baharu yang boleh dikunjungi sambil meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan jeti pelancongan tersebut, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayang itu berkata, projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu diharap dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam selain menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan perikanan setempat.

Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Jeti Pelancongan Kampung Telok Pelandok dan Pengkalan Kempas melibatkan kos RM500,000 bagi setiap jeti, bermula pada 14 Julai 2025 dan siap sepenuhnya pada 20 November tahun lalu.

Skop utama projek merangkumi pembersihan tapak, kerja penanaman cerucuk, pembinaan struktur konkrit bangsal jeti, kerja kayu serta bumbung pondok nelayan, selain kerja kemasan dan cat.

Sementara itu, penduduk setempat, Shapra Sulaiman, 62, menyifatkan kemudahan baharu di kedua-dua jeti berkenaan memberi manfaat besar kepada nelayan, khususnya dari segi kemudahan dan keselamatan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai nelayan berkata penambahbaikan di Jeti Pengkalan Kempas memudahkan urusan harian nelayan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jeti serta orang awam.

Show More

Related Articles

Back to top button