YB Kita

Inisiatif Sentuhan MADANI Felda agih bantuan RM71,450 dan 40 komputer riba

JEMPOL: Karnival Sentuhan Madani FELDA dan Santunan Desa KEMAS DUN Serting yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 September 2025 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya.

Antara pengisian utama karnival ialah penyampaian komputer riba percuma kepada 40 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari DUN Serting, DUN Juasseh, DUN Gemencheh dan DUN Gemas.

Komputer riba ini adalah bantuan daripada Kerajaan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) bagi membantu pengajian pelajar universiti dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, sumbangan berjumlah RM71,450 telah diagihkan melibatkan bantuan daripada Pejabat ADUN Angkat Serting, Pejabat Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan insentif Bantuan Keceriaan Warga Emas serta bantuan khas kepada mangsa kebakaran rumah di Felda Raja Alias 3.

Karnival anjuran FELDA dengan kerjasama KEMAS ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kekeluargaan dan sukan rakyat yang berjaya menarik penyertaan masyarakat setempat.

Felda, KEMAS serta semua agensi dalam daerah turut melibatkan diri menjayakan penganjuran program ini sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan yang utuh.

Penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Ahmad Maslan dan turut dihadiri Exco Kanan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias.

Majlis penutup pula disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Dato’ Mustapha Nagoor. Turut hadir, Penyelaras DUN Serting, Nor Mohd Azahar Saharudin.

.

Show More

Related Articles

Back to top button