Kerajaan Negeri Sembilan yang baru dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN-15) baru-baru ini telah berjaya membentangkan belanjawan bagi tahun 2024 dengan tema ‘Bersama Membina Negara Madani’.
Rangka belanjawan tersebut adalah berdasarkan manifesto Aspirasi Perpaduan yang telah diumumkan semasa kempen PRN yang lepas.
Belanjawan Negeri Sembilan memperuntukkan RM555 juta secara keseluruhan untuk dibelanjakan sepanjang tahun 2024 oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sesuatu yang harus dibanggakan dalam belanjawan ini adalah peruntukan pembangunan Negeri Sembilan (25 peratus) untuk tahun 2024 adalah mendahului peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan (22.8 peratus) iaitu sebanyak 2.2 peratus.
Keadaan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi keutamaan.
Belanjawan Negeri Sembilan 2024 menumpukan perhatian terhadap sembilan teras utama untuk dibangunkan, sekali lagi secara perbandingan fokus Belanjawan Negeri Sembilan 2024 mendahului Belanjawan Kerajaan Persekutuan yang hanya memberi fokus kepada tiga tumpuan utama.
Belanjawan Negeri Sembilan 2024 dianggap inklusif kerana terdapat enam golongan yang menerima manfaat secara terus seperti bayi, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi, belia yang mendirikan rumahtangga, ibu tunggal dan warga emas.
Pembahagian peruntukan secara inklusif ini adalah sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor, namun kerajaan Negeri Sembilan dapat melaksanakan perkara yang sama dengan peruntukan yang lebih sedikit berbanding kerajaan Negeri Selangor (nilai belanjawan Negeri Sembilan adalah suku daripada belanjawan Negeri Selangor).
Belanjawan secara berhemah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan telah menunjukkan hasil yang positif apabila jumlah pelaburan di Negeri Sembilan pada tahun 2022 mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dengan jumlah sebanyak RM8.9 bilion.
Jumlah pelaburan yang tinggi ini menunjukkan keyakinan para pelabur kepada kestabilan ekonomi, politik dan sosial di Negeri Sembilan, hasil belanjawan secara berhemah.
Semoga Belanjawan Negeri Sembilan 2024 mampu untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai dari segi pembangunan dan kesejahteraan.
Mohd Fauzi Fadzil
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia