Kedai kecil perlu dapat manfaat daripada SARA: Cha

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan (JKP)Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian (PKKP) Bil. 1 Tahun 2026 di Parlimen.
Mesyuarat ini bertujuan untuk mendengar pembentangan dan pandangan daripada koperasi (ANGKASA) dan tiga NGO peringkat kebangsaan yang mewakili peniaga runcit pelbagai kaum, tentang perkara yang berkaitan dengan penglibatan pekedai kecil menjadi rakan kongsi dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Pelbagai pandangan termasuk masalah telah dibangkitkan oleh empat entiti yang diundang ke mesyuarat.
“Kesemua pandangan tersebut telah dicatatkan dan bakal dijawab dalam sesi minggu depan.
“Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dato’ Johan Mahmood Merican, dan wakil sekretariat SARA telah menghadiri mesyuarat ini dan meneliti pandangan daripada para pembentang.
“Sebagai Pengerusi JKP PKKP, saya sangat mengambil berat dan menghargai inisiatif Kerajaan Malaysia MADANI dalam pelaksanaan SARA, di mana warga negara yang terlibat boleh menggunakan inisiatif ini melalui MyKad untuk membeli 14 kategori barangan keperluan di kedai-kedai atau pasaraya yang terlibat.
“Selain rakyat biasa, saya juga cakna akan kedai-kedai kecil di seluruh negara di mana para pekedai bergantung hidup kepada perniagaan kecil-kecilan mereka.
“Maka, ada keperluan supaya golongan ini turut mendapat manfaat daripada SARA,” kata Cha.



