Kerajaan memandang serius isu kecurian kabel landasan kereta api

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama bagi membincangkan isu kecurian kabel yang berlaku di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang semakin membimbangkan.
“Perbuatan ini bukan sahaja mendatangkan risiko keselamatan kepada operasi tren, malah mengganggu pergerakan rakyat dan menjejaskan aktiviti ekonomi negara.
“Kerajaan memandang serius isu ini dan komited mengambil tindakan tegas untuk membanteras jenayah ini demi memastikan kelancaran serta keselamatan sistem pengangkutan rel kita,” kata Loke.
Dalam pada itu, Saifuddin memandang serius perkara ini kerana kejadian kecurian seperti ini bukan sahaja merupakan satu jenayah terhadap harta awam, tetapi juga boleh menjejaskan secara langsung momentum, jadual serta kelancaran keseluruhan proses pembinaan projek mega ECRL.
“Kita sedang meneliti langkah strategik jangka pendek dan jangka panjang agar insiden seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh.
“Saya juga telah menegaskan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan dan tuntas,” jelas Saifuddin.