Kes pembakaran terbuka meningkat hampir tiga kali ganda di Negeri Sembilan
SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 219 panggilan kes pembakaran terbuka sepanjang Januari 2026, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 81 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, kebakaran lalang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 121 kes, diikuti kebakaran ketika pembersihan halaman sebanyak 56 kes, kebakaran sampah (33), kebun atau ladang (lima) dan hutan (empat).
Menurut beliau, peningkatan ketara itu dipengaruhi beberapa faktor termasuk keadaan cuaca ekstrem serta tiupan angin kencang yang menyebabkan api merebak dengan pantas dan berpotensi mencetuskan kebakaran berskala besar.
“Selain itu, faktor manusia seperti tindakan pembakaran secara sengaja turut dikenal pasti sebagai antara punca peningkatan kes kebakaran terbuka di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Beliau berkata, beberapa kawasan dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka atau berpotensi menjadi kawasan panas (hotspot) termasuk Kuala Pilah, Port Dickson, Teluk Kemang dan Seremban 2.
Mengulas statistik tahun lalu, Nor Arifin berkata JBPM Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 610 kes kebakaran lalang, selain kebakaran sampah (129 kes), hutan (33) serta kebun atau ladang (25).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia bukan sahaja menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam, malah berisiko menyebabkan kebakaran merebak secara tidak terkawal.
“Jabatan sentiasa bersiap sedia dengan keanggotaan serta kelengkapan peralatan bagi menghadapi sebarang situasi kebakaran. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kebakaran terbuka dapat dibendung sekali gus tidak menjejaskan ekonomi serta ekosistem negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau balai bomba berhampiran sekiranya berdepan sebarang insiden kecemasan untuk tindakan lanjut.
Sumber: Bernama



