Malaysia – Australia teroka peluang baharu ekonomi, agromakanan dan teknologi digital

MELBOURNE: Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan bersama rakan sejawat dari Australia, PYT Senator Penny Wong telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia Ke-7 (AFMM).
Mohamad berkata, mesyuarat memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan kerjasama dua hala serta meneroka peluang baharu di bawah Perkongsian Komprehensif Strategik (CSP).
“Fokus utama merangkumi bidang ekonomi hijau, agromakanan, tenaga, teknologi digital dan mineral kritikal, di samping memperkukuh kerjasama dalam industri halal serta kepengerusian Malaysia ASEAN 2025.
“Selain itu, kami turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.
“Mesyuarat kali ini dimuktamadkan dengan pemeteraian Kenyataan Bersama AFMM Ke-7 sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia,” kata Mohamad.