KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr.Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia berpotensi besar menjadi hab pelaburan, penyelidikan, dan inovasi, terutama dalam sektor peranti perubatan yang terus berkembang pesat.
“Sistem penjagaan kesihatan yang kukuh, pelaburan strategik, dan tenaga kerja berkemahiran tinggi telah menjadikan Malaysia salah satu pusat peranti perubatan terbesar dan paling menarik di Asia Tenggara dan dunia, dengan nilai pasaran melebihi RM10 bilion pada tahun 2023.
“Malaysia kini menjadi destinasi pilihan bagi lebih 200 pengeluar peranti perubatan tempatan dan lebih 30 syarikat multinasional.
“Kita juga berbangga menjadi pengeluar sarung tangan nombor satu dunia, memenuhi 60 peratus permintaan global,’ katanya.
Dzulkefly berkata demikian di Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, yang berlangsung serentak dengan Mesyuarat Tahunan ke-28 Global Harmonization Working Party (GHWP).
Beliau juga menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia as a Hub for Medical Device Investment, Research, and Innovation’.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah menyempurnakan majlis penutupan.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Dzulkefly turut melancarkan Intellis Automated Peritoneal Dialysis Cycler dan ventilator VS1, yang juga akan dieksport ke pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Jerman, dan Belgium.
“Usaha ini selaras dengan gagasan besar Malaysia MADANI, yang mana inovasi adalah salah satu tonggaknya. Malaysia akan terus komited untuk memacu sektor peranti perubatan demi memperkukuhkan ekonomi, serta meningkatkan kualiti kesihatan rakyat dan di peringkat global.
“Jutaan terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat menjayakan IMDEC2024, terutamanya pasukan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” ujar Dzulkefly.