Berita

Pencegahan dadah tanggungjawab bersama

PORT DICKSON: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengadakan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Sembilan & Ride AADK Tahun 2025 di Dewan Bagan Pinang.

Program dirasmikan oleh Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Objektif sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan cara menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif kepada masyarakat pelbagai lapisan melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka serta menggalakkan penglibatan komuniti khususnya belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah.

Antara pengisian program adalah Konvoi Bermotosikal gabungan bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Ibu Pejabat yang melibatkan seramai 150 orang riders membawa misi besar iaitu menyampaikan mesej antidadah secara langsung kepada komuniti melalui aktiviti walkabout dan walking massage serta pendaftaran SKUAD Antidadah di lima pantai utama Port Dickson.

Turut diadakan aktiviti ziarah prihatin (home visit) ke rumah klien AADK dan menyampaikan sumbangan bakul rahmah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang sedang menjalani pemulihan dalam komuniti.

Aktiviti lain adalah Mewarna Keluarga, Sukan Rakyat, Pertandingan Fitness Dance, Family Sand Castle, Pocket Talk Antidadah, pemeriksaan kesihatan, jualan produk, pameran jabatan serta rewang kenduri rakyat.

Statistik AADK pada sukuan pertama 2025 menunjukkan bahawa ramai penyalahguna dan penagih dadah terdiri daripada golongan belia berusia 15 hingga 39 tahun iaitu 53.7 peratus dan ini amat membimbangkan.

Justeru, seruan kepada semua golongan belia serta komuniti mengambil inisiatif dengan menyertai sukarelawan antidadah sebagai tanda solidariti dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah.

Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 4,538 orang penyalah guna dan penagih dadah serta bahan sehingga Mac 2025.

Jumlah ini menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 13.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Kadar penyalah guna dan penagih dadah serta bahan berdasarkan 100,000 penduduk di Negeri Sembilan adalah sebanyak 366 orang penagih.

Kategori dadah yang menjadi pilihan utama bagi penyalah guna dan penagih adalah dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) dengan majoriti 57.4 peratus atau 2,606 orang bagi tempoh sehingga Mac 2025.

Show More

Related Articles

Back to top button