VIENTIANE: Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Laos setuju untuk memperingkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone sepakat untuk terus memperkukuh persahabatan Malaysia-Laos, sekali gus mempertingkat kerjasama dua hala terutama dalam sektor pertahanan, perbankan dan kewangan, pendidikan, pelancongan dan sumber manusia.
“Saya dan Perdana Menteri Laos, Sonexay bertukar pandangan dalam pelbagai perkara.
“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan di Laos yang boleh memanfaatkan ekonomi kedua-dua negara,” ujar Anwar.
Anwar berkata demikian di Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Kepemimpinan ASEAN kepada Malaysia.
Anwar mewakili Malaysia secara rasmi menerima tugas selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah atas kepimpinan cemerlang Lao PDR sepanjang mempengerusikan ASEAN.
“Malaysia mengambil alih kepemimpinan ini dengan memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi kemajuan bersama tanpa ada yang tercicir.
“Saya beri jaminan bahawa segala tindakan tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN akan diputuskan secara konsensus.
“Tahun 2025 menandakan satu detik penting bagi ASEAN, di mana kita akan meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, dan memperkenalkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
“Insya-Allah, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, memperkukuh dan memperluas kerjasama ekonomi serantau, termasuk menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China pada 2025.
Lebih penting, ASEAN akan berpegang teguh kepada prinsip memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang aman dan makmur di bawah kepengerusian Malaysia,” kata Anwar lagi.