Pelanggaran injunksi mahkamah: Raja Norazli tegas akan teruskan prosiding penghinaan mahkamah

SEREMBAN: Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU), Raja Norazli Raja Nordin menegaskan bahawa tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak-pihak yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban pagi Jumaat.
Menurut beliau, Mahkamah Tinggi di hadapan Yang Arif Hakim Roz Mawar Rozain telah memberikan perintah injunksi ad interim dalam Saman Pemula No. NA-24NCvC-240-05/2026 bagi mengekalkan status quo DKU dan kedudukannya sebagai Setiausaha DKU sementara menunggu perbicaraan berhubung isu bidang kuasa dan kebolehadilan (justiciability) dan sehingga perintah selanjutnya oleh mahkamah.
“Sejak perintah-perintah injunksi ad interim tersebut diberikan, saya telah mendapati melalui laporan-laporan media bahawa Plaintif-Plaintif, khususnya Plaintif Ke-2, telah terlibat dan/atau mengambil bahagian dalam kononnya pelantikan seorang Yang di-Pertuan Besar, yang didakwa dibuat di bawah Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Perkara ini dilaporkan telah berlaku selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah-perintah injunksi ad interim pagi tadi (Jumaat),” jelas Raja Norazli.
Raja Norazli berkata, sekiranya laporan tersebut benar, tindakan itu merupakan satu pelanggaran terhadap perintah Mahkamah.
“Saya berpendirian bahawa tindakan Plaintif-Plaintif tersebut, sekiranya dilaporkan benar, adalah suatu pelanggaran perintah Mahkamah.
“Plaintif-Plaintif, khususnya Plaintif Ke-2, telah bertindak secara terburu-buru dalam percubaan mereka untuk mengingkari perintah Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau memaklumkan bahawa peguamcaranya telah mengutus surat kepada peguamcara pihak Plaintif bagi merizabkan hak untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah yang baharu terhadap mereka.
Menurut beliau, langkah itu perlu bagi memelihara integriti dan kewibawaan perintah yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Sehubungan itu, peguamcara saya telah menulis kepada peguamcara Plaintif-Plaintif, di mana saya telah merizabkan hak saya untuk memulakan prosiding-prosiding Penghinaan Mahkamah terhadap Plaintif-Plaintif bagi memelihara integriti perintah mahkamah,” ujarnya.
“Tindakan ini adalah tambahan kepada prosiding-prosiding Penghinaan Mahkamah yang telah saya failkan terhadap Plaintif-Plaintif berkenaan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh mereka sejak tarikh perbicaraan pertama perkara ini di hadapan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi pada 13 Mei 2026 sehinggalah ke hari ini.
“Prosiding tersebut kini telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 7 Julai 2026,” kata Raja Norazli.
Mengakhiri kenyataannya, Raja Norazli menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta memelihara kedaulatan institusi kehakiman.
“Saya akan kekal teguh dan komited sepenuhnya untuk mempertahankan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan segala perintah mahkamah ini,” katanya.



