Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu siap, sedia digunakan menjelang Ramadan
Sebanyak RM8.85 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Masjid Dato’ Undang Luak Jelebu. Masjid ini merupakan masjid pertama yang mula dibina pada Mac 2022 dan berjaya disiapkan pada Februari 2026.
Terletak di atas tanah seluas 4.88 ekar, masjid ini mampu menampung 1,000 jemaah menjadikannya pusat ibadah utama di daerah Jelebu.
Majlis penyerahan masjid disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun sekali gus menandakan masjid ini kini boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kariah setempat.
“Ini merupakan masjid pertama yang berjaya disiapkan pada tahun 2026 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan dijangka menjadi pusat utama pengimarahan sempena Ramadan yang bakal tiba,” katanya sewaktu berucap pada majlis berkenaan.
Masjid ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sokongan termasuk dewan keraian, bilik pentadbiran, bilik imam, bilik pengurusan jenazah, sistem audio, kemudahan wuduk yang selesa, menara setinggi 25.2 meter serta kawasan parkir mesra OKU bagi keselesaan jemaah.
Beliau berharap masjid ini dapat dihidupkan melalui solat berjemaah, majlis ilmu, aktiviti kebajikan serta program pembangunan sahsiah supaya benar-benar berfungsi sebagai pusat penyatuan ummah di daerah Jelebu.
Beliau turut menekankan inisiatif Belanjawan Negeri 2026 yang memperuntukkan RM16.05 juta khusus bagi pembangunan dan pengukuhan institusi Islam di negeri ini merangkumi pembangunan masjid dan surau, pendidikan agama, pengimarahan institusi Islam, kebajikan asnaf serta pengukuhan pentadbiran agama.
“Bagi tahun ini, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf Masjid Negeri dan penyelenggaraan masjid-masjid lain di Negeri Sembilan manakala RM5.05 juta diperuntukkan sebagai insentif elaun bilal, siak, dan pembantu wanita. Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan institusi agama Islam di negeri ini,” tambahnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan (JKRNS) dan MZA Teguh Jaya atas komitmen menyiapkan projek ini, serta mengucapkan terima kasih kepada Urusetia Majlis dan semua pihak termasuk Ahli Parlimen Jelebu yang memastikan program dan proses pembinaan berjalan dengan lancar.




