BeritaMenarik

Negeri Sembilan komited martabatkan pendidikan Islam

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited dalam memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini dan telah menyusun beberapa inisiatif.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, membangun dan melaksanakan Standard Kualiti Pendidikan Islam Negeri Sembilan (SKPiNS) sebagai penanda aras penarafan standard kualiti bagi sekolah-sekolah Islam di Negeri Sembilan yang merangkumi enam standard teras iaitu kepemimpinan dan hala tuju, pengurusan organisasi, pengurusan program pendidikan, pengurusan pembelajaran dan kemenjadian murid.

“SKPiNS akan memastikan sekolah-sekolah Islam termasuk pondok dan madrasah di Negeri Sembilan ditadbir secara efisien dengan tatakelola yang baik.

“Memperkasa kurikulum sekolah Islam termasuk pondok dan madrasah dengan membangunkan Kurikulum Asas Sekolah Islam Negeri Sembilan (KASINS).

“KASINS bertujuan menyediakan asas pendidikan Islam yang inklusif dan sistematik, membina kemahiran dalam pelbagai bidang ilmu, serta meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap pendidikan agama anak-anak mereka selain berperanan mengawal kurikulum di sekolah Islam swasta agar selari dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sehingga kini sebanyak 33 buah Sekolah Islam Swasta telah mengikuti kurikulum KASINS yang dibangunkan ini,” jelas Aminuddin.

Aminuddin turut menambah, dari aspek pembangunan kemahiran guru, kerajaan negeri dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar telah membangunkan dan melaksanakan modul Professional Islamic Teacher Assessment (PiTAS) Mudarris yang merupakan satu daripada lima komponen utama dalam Standard Profesionalisme Keguruan (SPK) iaitu Mudarris, Muaddib, Murabbi, Muallim dan Mursyid yang terkandung di dalam standard Kualiti Pendidikan Islam Negeri Sembilan (SKPiNS).

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sedang menyemak semula Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam 1996 bertujuan untuk memperkukuh pemantauan dan kawalan terhadap institusi pendidikan agama di negeri ini untuk memastikan sekolah-sekolah agama termasuk tahfiz, madrasah, pondok dan sekolah agama rakyat mematuhi standard pendidikan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Selain itu Kerajaan Negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN) terus memperkasakan program Fast Track SPM supaya meningkatkan kebolehpasaran pelajar-pelajar tahfiz, madrasah dan pondok.

“Pada tahun 2024, program ini dijalankan di Sekolah Maahad Tahfiz (Persendirian) As-Saidiyah (MTAS) seperti tahun sebelum ini melibatkan seramai 50 orang pelajar tahfiz,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menjelaskan Kerajaan Negeri Sembilan juga telah menyalurkan sumbangan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan untuk pelaksanaan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi sebanyak RM17,640 dan juga sumbangan bagi Program Adab dan Nilai sebanyak RM6,220 bagi menghargai kejayaan cemerlang anak-anak Negeri Sembilan dalam program Majlis al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan 2024.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memasukkan inisiatif Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dalam Pembangunan Pelan Strategik KPM bagi tempoh 2024-2030.

“Inisiatif ini melibatkan guru, murid, dan seluruh warga institusi pendidikan KPM yang beragama Islam,” katanya.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

Mohamad bertanya apakah pelan strategi Kerajaan Negeri dalam memartabatkan pendidikan Islam di Negeri Sembilan.

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button