BeritaMenarik

NEST bakal lahirkan anak muda berkemahiran tinggi

SEREMBAN: Negeri Sembilan Career Development and Talent Empowerment Centre (NEST) atau Pusat Pembangunan Bakat dan Kerjaya Negeri Sembilan akan menjadi nadi utama dalam usaha untuk memperkasa bakat dan kerjaya di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, NEST akan berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi para pekerja, graduan dan pelajar yang ingin meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka khususnya di Negeri Sembilan.

“Buat masa ini NEST telah pun bergerak secara kecil-kecilan di bawah Segmen Pembangunan Insan, Yayasan Negeri Sembilan.

“Beberapa program telah pun digerakkan seperti Protégé iaitu penempatan perintis muda di Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Akademi dalam Industri iaitu kerjasama bersama Malaysia Productivity Corporation (MPC) mencari anak-anak muda Negeri Sembilan khususnya yang tidak mempunyai SPM untuk belajar dan bekerja dalam masa yang sama yang akhirnya mendapat sijil akademik dan pekerjaan yang stabil,” ujar Aminuddin.

Aminuddin juga berkata, NEST juga akan menjadi penghubung antara industri, institusi pendidikan dan pekerja; dengan menawarkan pelbagai program dan inisiatif yang relevan dan berfokuskan keperluan pasaran kerja masa kini.

“Melalui NEST, kita yakin dapat membantu lebih ramai rakyat khususnya anak muda Negeri Sembilan mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka, seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dan under-employment di negeri ini.

“NEST juga diyakini mampu melahirkan bakat-bakat terbaik bagi memenuhi keperluan pelaburan dan pembangunan negeri yang sangat-sangat memerlukan bakat-bakat berkemahiran tinggi.

“Saya percaya bahawa dengan adanya kolaborasi yang erat antara semua pihak, kita mampu menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri yang unggul dalam koridor pembangunan bakat dan kerjaya.

“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan visi ini,” ulas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Penutup Seminar Pembangunan Kerjaya Negeri Sembilan (SPARK) 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Dalam pada itu, dalam konteks NEST, YNS berhasrat untuk membina kerjasama rapat dan berterusan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

“JUsteru itu, YNS telah mengadakan seminar (SPARK) untuk guru kaunseling yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sembilan bagi sama-sama membangunkan bakat anak-anak negeri sejak di bangku sekolah sehinggalah mereka mendapatkan kerjaya yang selayaknya dan berpendapatan tinggi terutamanya di Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button