Notis 21 hari akan dihantar sebelum bantuan JKM ditamatkan – Nicole
SEREMBAN: Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Kon (Bukit Kepayang-Pakatan Harapan) berkata, beliau telah melakukan reformasi sistem penamatan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berkuatkuasa sejak 22 Januari 2020.
Nicole berkata, sebelum sebarang jenis bantuan ditamatkan satu notis 21 hari akan dihantar kepada ADUN kawasan bagi memaklumkan penamatan bantuan tersebut.
“Sebelum ini hanya penerima bantuan sahaja menerima notis tersebut dan ini menimbulkan salah faham di pihak ADUN kawasan sekiranya ADUN tersebut pernah menguruskan permohonan bantuan individu terbabit.
“Saya mengatakan di sini bahawa tiada isu penamatan bantuan JKM tanpa pemakluman kepada wakil rakyat kawasan masing-masing.
“Ini adalah kerana saya telah mengarahkan supaya satu notis 21 hari dihantar kepada wakil rakyat kawasan sebelum bantuan JKM boleh ditamatkan. Arahan ini berkuatkuasa sejak 22 Januari 2020,” jelas Nicole.
Nicole berkata, kelulusan permohonan Bantuan Kewangan JKM adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh JKM dan Garis Panduan Pengurusan Bantuan Kewangan:
Kriteria kelayakan Bantuan Kewangan JKM yang diguna pakai bagi menyalurkan bantuan tersebut:-
i. Warganegara Malaysia dan bermastautin dalam Negeri Sembilan.
ii. Pendapatan keluarga tidak melebihi Paras Garis Kemiskinan.
Penggunaan Paras Garis Kemiskinan (PGK) Semasa
PGK semasa di bawah kriteria kelayakan Am digunapakai dalam semua Permohonan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana dinyatakan dalam Surat Pekeliling KPKM Bil 5, Tahun 2019, pendapatan isi rumah di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) 2016 iaitu RM960.00 bagi Semenanjung Malaysia.
iii. Lain-lain syarat kelayakan:-
a) Golongan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan atas faktor lain yang diambil kira ialah bilangan anak/tanggungan, perbelanjaan persekolahan anak-anak, tambang bas/yuran sekolah, keadaan rumah/rumah sewa, umur pemohon/ketua keluarga, kecacatan dan keuzuran disebabkan oleh penyakit.
b) Mereka yang kurang bernasib baik kerana kesulitan hidup harian yang berpunca daipada kematian pencari nafkah, sakit, orang kurang upaya, warga emas, kemiskinan, daif dan lain-lain masalah sosial.
c) Kumpulan sasar jabatan yang tidak berkemampuan dan berkeperluan untuk meringankan kesulitan kewangan mereka buat sementara waktu ataupun sehingga suatu jangka masa mereka dapat berdikari.
d) Kes-kes yang sangat berkeperluan secara sekaligus dan serta-merta untuk meringankan kesulitan dan kepayahan yang sedang dialami oleh kes berkenaan.
“Sehubungan dengan itu, kes-kes yang tersenarai dalam e-Kasih tetapi tidak menepati syarat-syarat di atas tidak dapat dipertimbangkan bantuan JKM.
“Walaubagaimanapun, pihak JKM bersedia untuk menyiasat permohonan dari senarai e-Kasih yang dirujuk,” ujar Nicole lagi.
Nicole berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Kota, YB Dato’ Seri Dr. Awaludin Said (BN) di Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.