Berita

NSFC mampu beri saingan Liga Super musim ini

ISKANDAR PUTERI: Skuad Negeri Sembilan Football Club (NSFC) dilihat mampu memberikan saingan sengit dalam edisi Liga Super pada musim ini.

Walaupun skuad Jang tewas semalam 5-3 menentang Johor Darul Takzim (JDT), namun corak permainan yang ditonjolkan amatlah sesuatu yang berbeza berbanding musim sebelum ini.

Rata-rata komentar penyokong NSFC di media sosial juga turut berpuas hati dengan gaya permainan yang dipamerkan anak buah Nidzam Jamil itu.

NSFC semalam berjaya mendahului tuan rumah dengan 0-2 menerusi jaringan daripada Joseph Esso dan Jovan Motika.

Walaupun begitu, JDT berjaya bangkit sebelum masa tamat.

Dalam pada itu, Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC), Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun turut hadir.

Aminuddin juga berpuas hati dengan NSFC.

“Saya yakin NSFC berada di landasan terbaik musim ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua penyokong NSFC supaya memenuhi Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bagi setiap perlawanan yang akan datang.

“Kehadiran anda akan memberi keyakinan dan semangat tambahan kepada para pemain serta pihak pengurusan untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri bersama para penaja akan terus memberikan sokongan padu, dan saya mengajak lebih banyak syarikat swasta tampil menjadi penaja demi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan kebanggaan Negeri kita ini,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button