Orang Asli berhak nikmati akses pendidikan, kesihatan, ekonomi dan infrastruktur yang berkualiti

LOBAK: Exco (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Seri Jalaluddin Alias telah menyantuni masyarakat di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, bagi merasmikan sebuah balai raya dan sebuah surau yang membawa manfaat kepada penduduk setempat.
“Setiap kali kunjungan di perkampungan Orang Asli, sentiasa mengingatkan saya bahawa pembangunan luar bandar bukan sekadar membina projek, tetapi menyantuni manusia dan mendengar denyut nadi masyarakat.
“Sebagai Exco Kanan Kerajaaan Negeri Sembilan, saya sentiasa menekankan bahawa saudara-saudara kita dalam komuniti Orang Asli berhak menikmati akses pendidikan, kesihatan, ekonomi dan infrastruktur yang adil serta berkualiti.
“Keperluan mereka adalah amanah yang mesti dipastikan sampai dengan tepat dan setimpal, tanpa ada sesiapa pun yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
“Insya Allah, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan komuniti Belihoi dan seluruh masyarakat Orang Asli terus menerima perhatian berterusan.
“Harapan saya jelas, biarlah pembangunan ini memberi ruang untuk mereka berdiri gagah, menikmati peluang yang sama rata, dan melihat masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang,” kata Jalaluddin yang juga Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong.



