Pelumba Moto3 bertarung nyawa selepas terbabit insiden di Sepang

SEPANG: Pelumba Moto3, Noah Dettwiler (Switzerland) dikhabarkan sedang bertarung nyawa selepas terlibat dalam satu insiden di PETRONAS Grand Prix of Malaysia di Litar Sepang semalam.
Kejadian berlaku semasa ‘sighting lap’ apabila Antonio Rueda (Sepanyol) melanggar Dettwiler dari belakang.
Dettwiler jatuh melambung di atas trek, manakala Rueda tercampak ke tepi trek berdekatan dengan kawasan pagar.
Perlumbaan terpaksa dihentikan hampir dua jam.
Pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan di atas trek dan sebuah helikopter mendarat di atas trek untuk membawa Dettwiler ke hospital untuk rawatan susulan.
Rueda turut dibawa menaiki sebuah lagi helikopter ke hospital.
Walaubagaimana pun laporan media Switzerland Blick memetik kenyataan bapa kepada Dettweiler memberi bayangan Dettwiler sedang bertarung nyawa.
Laporan itu berkata, jantung Dettweiler berhenti beberapa kali, limpa bocor, kaki patah dan kehilangan banyak darah.
Bapa dan ibu kepada Dettwiler kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Switzerland.
Pasukan CIP Green Power dalam satu kenyataan berkata, keadaan Dettwiler stabil tetapi kritikal.
Untuk rekod, Rueda telah pun dinobatkan sebagai juara keseluruhan Moto3 tahun ini semasa perlumbaan di Litar Mandalika, Indonesia.



