Projek hab EV bersepadu RM12 juta bakal ubah wajah R&R Seremban arah selatan

SEREMBAN: Projek bernilai RM12 juta bagi membangunkan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu pertama di Malaysia bakal menjadi mercu tanda baharu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).
Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan hab itu dijangka siap menjelang awal tahun 2027 dan merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem mobiliti rendah karbon negara.
“Projek tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan mengecas kenderaan elektrik, malah melambangkan komitmen kerajaan terhadap tenaga bersih dan pembangunan mampan.
“Hab ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Mobiliti Rendah Karbon bagi mencapai sasaran sifar pelepasan karbon menjelang 2050.
“Hab tersebut akan dilengkapi 20 poin pengecasan pantas berkuasa tinggi sehingga 350 kiloWatt (kW), selain disokong sistem tenaga solar bagi memastikan operasi lebih efisien dan mesra alam,” kata Alexander.
Tambahnya, kerajaan turut menyasarkan pembinaan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025, termasuk di rangkaian lebuh raya utama.

“PLUS telah menjadi antara peneraju awal dalam membangunkan infrastruktur pengecasan pantas di lebuh raya sejak tahun 2023. Hab di R&R Seremban ini akan menjadi model kepada pembangunan masa depan,” jelas beliau.
Pemilihan R&R Seremban (arah selatan) sebagai lokasi hab pertama itu juga dilihat signifikan kerana hentian tersebut merupakan R&R lestari pertama di Malaysia.
Dalam majlis yang sama, PLUS dan Yinson GreenTech turut mengumumkan kerjasama melalui Terra ChargEV Sdn. Bhd., syarikat yang akan bertanggungjawab membangunkan dan mengendalikan hab pengecasan bersepadu berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
				


