Pendidikan pelaburan jangka panjang, membina masa depan negara

RANTAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) melibatkan sekolah menengah, sekolah kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dalam kawasan DUN Rantau.
Majlis yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Rantau itu menjadi platform penting dalam menghargai peranan PIBG, guru-guru serta ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak-anak terus diberi keutamaan.
Dalam majlis sama, turut diraikan pelajar-pelajar cemerlang yang berjaya dalam peperiksaan awam termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
Mohamad turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar di DUN Rantau di atas kejayaan yang telah mengharumkan nama keluarga, sekolah dan daerah.
“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang amat penting dalam membina masa depan negara.
“Walaupun hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat, namun dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, pelaburan inilah yang akan menentukan hala tuju dan masa depan negara,” kata Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau.




