Berita

Penghulu tidak boleh selesa dalam bilik berhawa dingin

SEREMBAN: Penghulu dinasihatkan agar rajin turun padang dan tidak boleh selesa dalam bilik berhawa dingin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengingatkan para Penghulu agar rajin turun padang untuk mendengar masalah rakyat.

“Namun, jangan sekadar turun padang sahaja, dengar dan selesaikan permasalahan rakyat.

“Setiap permasalahan ada jalan penyelesaian.

“Jika berlaku kes kebakaran, ribut, kes rompak atau kes bunuh di Kawasan mukim, jangan tunggu ADUN atau Ahli Parlimen turun padang.

“Penghulu kena sampai dulu ke tempat kejadian.

“Kalau orang sakit kronik perlu menyiapkan surat permohonan atau dokumen tertentu untuk rawatan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur atau Hospital Tuanku Ja’afar Seremban; tetapi tidak tahu caranya, bantu individu terbabit dengan menyiapkan surat tersebut, tolong buatkan permohonan dan selesaikan perkara itu,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian dalam Majlis Amanat kepada Penghulu di pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Dewan Serbaguna, Wisma Negeri.

Dalam pada itu, dalam majlis yang sama, beliau telah menyerahkan surat pengesahan pelantikan jawatan penghulu Gred NP5 kepada seorang penghulu.

Sementara lima penghulu Gred NP5 menerima surat pengesahan dalam perkhidmatan.

“Saya juga menyerahkan pertukaran penempatan jawatan penghulu kepada seorang penghulu Gred NP7, dua orang penghulu Gred NP6 dan 19 orang penghulu Gred NP5,” ujar Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button