SEREMBAN: Peranan alumni dalam membantu pihak sekolah khususnya dalam aspek akademik pelajar adalah penting.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata demikian, dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Hari Q, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) KGV 2024 di Dewan MAINS.
“Tidak dinafikan, alumni dari KGV hebat dan ramai golongan professional seperti peguam, pakar perubatan dan jurutera merupakan bekas pelajar KGV.
“Alumni juga mempunyai peranan dalam membantu warga KGV dengan menyalurkan sumbangan dana.
“Jangan lupa tempat kita bermula. Datang semula ke sekolah dan bantu pihak sekolah,” kata Aminuddin.
Sementara itu, Aminuddin turut memberi sumbangan kewangan kepada SMK KGV bagi memastikan warga KGV mengekalkan kecemerlangan akademik pelajarnya.
“Saya berharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat buat anak-anak untuk meneruskan kecemerlangan dan pihak sekolah mampu menyediakan ruang pembelajaran yang selesa dan kondusif,” ujar Aminuddin.