Berita

Perutusan Hari Raya Menteri Besar Negeri Sembilan

Syukur Alhamdulillah, kerana kita masih diberi keizinan oleh Allah Tuhan Tuan punya pemilik Alam untuk menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan pada tahun ini, semoga ramadan ini menjadi bulan terbaik membentuk jatidiri kita sebagai seorang mukmin yang bertakwa.

Walaupun Negara masih belum pulih sepenuhnya dari tamparan Covid-19, sambutan ramadhan masih kekal disemarakkan oleh umat islam bagi memborong pahala dan berkahnya. Kita masih berada pada Fasa Peralihan ke Endemik yang menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak. Oleh itu, saya menggalakkan umat Islam yang akan menunaikan Solat Sunat Aidilfitri untuk memakai pelitup muka dan membawa sajadah sendiri.

Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya berkesempatan meraikan ketua-ketua jabatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) , Pemimpin-pemimpin masyarakat , kakitangan Pejabat Menteri Besar, Mahasiswa dan Belia Negeri Sembilan di dalam Majlis Berbuka Puasa di Kediaman Rasmi.

Selain itu, saya juga turut berpeluang memenuhi ruang masa dengan hadir di masjid-masjid sekitar Negeri Sembilan bagi Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat, tarawih, iktikaf, qiamullail, bersahur dan juga menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada fakir dan miskin Negeri Sembilan.

Besar harapan saya untuk melihat semangat Ramadan terus dipraktikkan dan masjid-masjid di Negeri Sembilan terus diimarahkan sama seperti bulan Ramadhan dengan kehadiran anak-anak muda yang menjadi kekuatan sesebuah umat.

Di atas, semangat Melunas Janji Menggalas Harapan yang dibawa pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah berjaya memanjangkan manfaat kepada lebih ramai penerima Bantuan Khas Aidilfitri pada tahun ini.

Antaranya , Bantuan Khas Kerajaan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam sebanyak RM1,000 di samping sebelum ini Kerajaan Negeri Sembilan memberikan BKK berjumlah satu bulan setengah gaji yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.

Selain itu seperti tahun lalu, bantuan Aidilfitri kepada fakir dan miskin Negeri Sembilan ditambah RM300 menjadikan golongan fakir telah menerima RM 1,000 dan miskin menerima RM800. Kerajaan Negeri menerusi MBI NS telah memperuntukkan RM1,615,296 untuk menambah bantuan Aidilfitri yang diberikan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Selain itu, turut dihargai adalah peranan pimpinan masyarakat yang menjadi penghubung dengan Kerajaan Negeri. Pengerusi dan Setiausaha MPKK turut menerima BKK Aidilfitri sebanyak RM1,000 bagi Pengerusi dan RM600 bagi Setiausaha. Manakala Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan bertaraf daerah di seluruh Negeri Sembilan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM1,000.

Di dalam keseronokan untuk pulang ke kampung halaman, saya mengingatkan kepada semua rakyat di Negeri Sembilan yang ingin pulang ke kampung untuk berhati-hati sepanjang memandu, pastikan kereta di dalam keadaan baik dan memandulah dengan berhati-hati.

Mewakili barisan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan saya ingin menjemput seluruh rakyat untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan sambutan Malaysia Madani pada 7 Mei 2023 bermula jam 10.30 pagi sehingga 3.00 petang di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, Forest Height Negeri Sembilan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin kepada semua. Semoga ibadat puasa dan setiap kerja yang kita lakukan diterima dan diredhai oleh Allah.

Bersih, Muafakat, Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat,
Naib Presiden KeADILan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KeADILan Negeri Sembilan.

1 SYAWAL 1444 H / 22 APRIL 2022

Show More

Related Articles

Back to top button