Program asnaf MAINS bentuk jati diri peserta

JELEBU: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah mengadakan Program Pembangunan Sahsiah Anak-anak Asnaf bagi Daerah Jelebu dan Kuala Pilah di Kem Kongkoi, Jelebu.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 40 orang murid sekolah rendah daripada Tahun 4 hingga Tahun 6.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti mencabar yang berfokus kepada pembinaan jati diri.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah aktiviti lasak seperti night walk, river crossing, flying fox dan village survival.
Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal peserta, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, keberanian serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan mereka.
Selain itu, aspek kerohanian turut diberi penekanan melalui pengisian slot motivasi, tazkirah dan aktiviti keagamaan.
Pendekatan ini dilihat mampu membentuk sahsiah diri yang lebih unggul di samping mendekatkan peserta dengan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk membina keyakinan diri serta memperkasa potensi diri ke arah masa depan yang lebih cemerlang.
Peserta juga diseru agar terus berusaha dengan penuh disiplin, tidak mudah berputus asa dan sentiasa yakin bahawa kejayaan bergantung kepada usaha, doa serta keazaman yang tinggi.
Sebagai tanda penghargaan, para peserta turut menerima bantuan saguhati daripada MAINS serta sumbangan duit raya daripada pihak jurulatih kem.
Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan mereka di samping menjadi pemangkin semangat untuk terus melangkah ke hadapan.



