BeritaMenarik

Program PENJANA KPT-CAP bantu graduan dapat peluang pekerjaan

PORT DICKSON: Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi atau lebih dikenali sebagai PENJANA-KPT-CAP (Career Advancement Programme) adalah salah satu inisiatif penting kerajaan dalam usaha menangani cabaran kebolehpasaran graduan serta mengurangkan pengangguran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Program PENJANA KPT-CAP, yang terdiri daripada empat trek utama, iaitu Place and Train, Keusahawanan, Gig Economy, dan Job Creation, adalah satu langkah yang komprehensif dalam membantu graduan meningkatkan kemahiran dan mendapatkan penempatan pekerjaan atau pembiayaan kewangan bagi perniagaan mereka.

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan graduan kita bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mempunyai masa depan yang cerah.

“Berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bagi tahun 2022, jumlah siswazah yang dikategorikan sebagai penganggur berjumlah 187,800 orang.

“Manakala jumlah bilangan Luar Tenaga Buruh Malaysia adalah seramai 862,600 orang, yang mana sebahagian dari kumpulan ini adalah dari kalangan siswazah yang tidak berminat mencari pekerjaan.

“Melalui data-data ini, jika tidak ada sebarang inisiatif atau usaha bersepadu dari pihak kerajaan, NGO atau badan swasta, ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada pembangunan negara kita,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Pelancaran Program PENJANA KPT-CAP Siri Kedua di Politeknik Port Dickson.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyaksikan upacara menandatangani usahasama antara pihak Politeknik Port Dickson bersama Koperasi Kebuniti Selangor Berhad.

“Kerjasama ini sudah pasti bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi pertanian moden dan pengkomersialan produk pertanian yang lebih berdaya saing di pasaran,” katanya.

Menurut Aminuddin, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menitikberatkan pembangunan sumber manusia yang berkemahiran tinggi sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Dalam konteks ini, saya ingin mengajak semua pihak untuk menjalin kerjasama erat antara Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Politeknik Port Dickson.

“Kerjasama ini boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi pertanian moden dan pengkomersialan produk pertanian yang lebih berdaya saing di pasaran.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam pembangunan sektor pertanian di Negeri Sembilan.

Dalam Belanjawan Negeri 2024, peruntukan bagi Teras Pertanian berjumlah RM22.75 juta yang mana terdapat Program peningkatan hasil tanaman buah, sayur dan padi, Program peningkatan kualiti dan pengembangan veterinar, Program transformasi kaedah pertanian dan Program pengeluaran ternakan dan genetik ternakan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, Majlis Perundingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Sembilan adalah medium terbaik bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir yang diperlukan oleh industri.

“Majlis ini juga memberi tumpuan kepada intervensi ‘quick-wins’ yang akan mempercepatkan penempatan pekerjaan, seterusnya mengurangkan isu kekurangan pekerja dalam industri.

“Negeri Sembilan dengan kedudukannya yang strategik di selatan Lembah Klang, berupaya menerima limpahan pembangunan daripada kawasan pesat ini, terutama dalam sektor pembuatan.

“Kerajaan Negeri juga giat mempromosikan Persijilan Kemahiran Malaysia melalui program Peningkatan Kemahiran dan Pemahiran Semula bagi pekerja mahir dan separa mahir.

“Program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) yang menyasarkan seramai 400 perantis tahun depan, juga merupakan satu inisiatif yang penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor-sektor penting seperti kereta elektrik (EV), komposit aeroangkasa, dan pertanian,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button