SEREMBAN: Penubuhan Civil Defence Auxiliary Member – Emergency Response Team (CDA-ERT) dalam struktur Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan membolehkan JPKK berfungsi sebagai ‘Frontliner’ dalam situasi kecemasan di kampung.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, dengan tertubuhnya ‘Pasukan Tindakan’ ini, akan ada bantuan awal dari pasukan CDA-ERT JPKK ketika berlaku sesuatu bencana atau kecemasan di kampung masing-masing.
“Situasi ini akan memberi peluang untuk urusan menyelamatkan lebih banyak harta benda dan mengurangkan kerugian yang dialami oleh mangsa.
“Masyarakat setempat akan lebih cakna dan bertanggungjawab kerana mempunyai pasukan penyelamat di kalangan ahli keluarga atau orang kampung mereka.
“Saya juga mengharapkan, agar lebih ramai JPKK yang akan mendaftar sebagai ahli APM dan menjalani latihan menyelamat yang disediakan bagi mencapai matlamat ‘1 Family 1 Rescuer’,” ujar Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat yang berada di kampung.
Antaranya adalah pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
“YAB Perdana Menteri telah mengumumkan dana sebanyak RM1 bilion melalui Belanjawan 2024 yang lalu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan JPKK bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sejak 2019 yang lalu telah memperkenalkan Dana Aktiviti JPKK sebanyak RM5,000 serta Dana Belia sebanyak RM3,000 bagi setiap JPKK bagi memastikan semua JPKK dalam Negeri Sembilan dapat menjalankan aktiviti yang sesuai untuk masyarakat.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan merakamkan jutaan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang turut menyediakan geran sebanyak RM5,000 kepada setiap JPKK,” jelas Aminuddin.