BeritaProgram

PRU-15: Saingan sengit lima penjuru di Kuala Pilah

KUALA PILAH: Parlimen Kuala Pilah bakal menyaksikan persaingan sengit lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Calon Pakatan Harapan, Ustaz Nor Azman Mohamad akan dicabar oleh penyandang Dato’ Eddin Syazlee Shith (PN) dan Dato’ Adnan Abu Hassan (BN).

Turut bersaing bagi merebut kerusi itu ialah Dato’ Azman Idris (Warisan) dan Kamarulzaman Kamdias (Pejuang).

Nor Azman berkata, beliau dan jentera Pakatan Harapan Kuala Pilah akan bekerja keras untuk menawan semula kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan itu pada PRU-14.

“Terima kasih kepada semua penyokong Pakatan Harapan di Parlimen Kuala Pilah kerana memberi sokongan kepada saya.

“Oleh itu, saya menyeru agar kita kembali ke lokaliti masing-masing untuk menarik pengundi supaya mengundi Pakatan Harapan pada PRU kali ini.

“Sekaligus, menobatkan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” kata Nor Azman yang merupakan Ketua Penerangan Parti KeADILan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan.

Nor Azman berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong Pakatan Harapan di perkarangan Stadium Kuala Pilah.

Untuk rekod, pada PRU-14, Eddin Syazlee menang di atas tiket Bersatu (Pakatan Harapan).

Pada Februari 2020, Bersatu keluar dari gabungan Pakatan Harapan yang lebih dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Show More

Related Articles

Back to top button