Berita

Pusat Data Google bakal mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan panggilan sidang video bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat serta pasukannya.

Antara yang dibicarakan ialah perkembangan pelaburan US$2 bilion oleh Google di Malaysia yang diumumkan pada Mei 2024.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan pelaburan ini bergerak dengan kemajuan yang memberangsangkan, malah melangkaui jangkaan awal.

“Pelaburan ini merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan Awan Google (Google Cloud) yang pertama di Malaysia.

“Apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menyokong penghasilan kesan ekonomi berjumlah US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030,” jelas Anwar.

Anwar berkata, pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.

“Ia selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button