Berita

Rebin: Lebih baik ‘tutup mulut’ kalau tidak mahu membantu

Tuduhan Kerajaan Negeri berpeluk tubuh, adalah hujah dangkal dan bersifat fitnah

JEMPOL: Ketua Cabang KeADILan Jempol, Saudara Rebin Birham menasihatkan ADUN Palong, YB Mustapha Nagoor ‘menutup mulut’ kalau tidak mahu membantu dalam isu kelemahan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Rebin menyarankan Mustapha agar bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan isu ini dan memperhebatkan pendaftaran pemberian vaksin di Negeri Sembilan, Parlimen Jempol dan DUN Palong khususnya kerana pendaftaran vaksin di negeri ini masih tidak capai titik sasaran.

“Usahlah bermain wayang demi mencari publisiti politik. Biarlah kita di nilai mahal kerana bekerja, bukan di nilai mahal kerana sandiwara.

“Saya nasihatkan Mustapha agar lebih baik tutup mulut, kalau tidak mahu membantu,” kata Rebin.

Rebin berkata demikian, merujuk kepada kenyataan Mustapha yang menyarankan Kerajaan Negeri Sembilan membeli vaksin sendiri.

Kerajaan Negeri tidak berpeluk tubuh

Rebin yang juga Penyelaras DUN Palong berkata, tuduhan Mustapha mengatakan Kerajaan Negeri Sembilan berpeluk tubuh adalah hujah dangkal dan bersifat fitnah.

“Sejak pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat di Negeri Sembilan.

“Malah baru-baru ini YAB Menteri Besar Negeri Sembilan mengumumkan bantuan khas Covid-19 dengan peruntukan RM10 juta bagi membantu rakyat Negeri Sembilan yang terjejas akibat Covid-19,” jelas Rebin.

Menurut Rebin, Kerajaan Negeri juga telah menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan keseluruhannya 59 PPV akan beroperasi selewat-lewatnya akhir bulan Jun ini.

“Ini adalah usaha untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin di negeri ini ianya dijangka akan dapat membekalkan vaksin kepada 53.31 peratus rakyat Negeri Sembilan yang telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin setakat hari ini.

“Malah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin sendiri akui bahawa bekalan vaksin ini hanya akan stabil pada hujung Jun 2021.

“Ini jelas menunjukkan kempen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hari ini masih lagi rendah, termasuk di negeri yang ditadbir oleh PN dan BN,” ulas Rebin.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button