Royale Chulan Seremban tampil 150 hidangan istimewa sempena Ramadan
SEREMBAN – Lebih 150 jenis hidangan disediakan menjadikan Buffet Ramadan Royale Chulan Seremban antara yang paling lengkap di sekitar Seremban.
Dengan berkonsepkan “Warna Rasa” buffet ini menampilkan kepelbagaian cita rasa serta keindahan masakan tradisional tempatan yang kaya dengan warna, aroma dan nilai nostalgia.
Konsep ini diketengahkan bagi memberikan pengalaman berbuka puasa yang menyeluruh dan bermakna selari dengan tradisi Ramadan yang menekankan kebersamaan, kesyukuran dan keaslian hidangan warisan.
Setiap menu dirangka dengan teliti bagi memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat sambil mengekalkan keaslian resipi tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Menurut Pengurus Besar Royale Chulan Seremban Abd Halim Md Yusof pemilihan tema “Warna Rasa” melambangkan kepelbagaian budaya dan keunikan masakan tradisional yang menjadi tunjang utama buffet Ramadan tahun ini.
“Konsep tersebut bukan sahaja menitikberatkan rasa malah menampilkan keindahan visual serta kenangan yang sering dikaitkan dengan hidangan berbuka puasa bersama keluarga dan sahabat handai,” katanya.
Antara tarikan utama buffet ini ialah pelbagai lauk pauk tradisional seperti Rendang Pucuk Ubi, Pecal Warisan Seri Menanti dan Rojak Buahan selain hidangan istimewa termasuk Kambing Golek, Oxtail Assam Pedas, Itik Rendang Daun Puding, Daging Masak Lomak Nogori serta Royale Shellout yang dijangka menjadi pilihan utama para pengunjung.
Buffet ini turut menampilkan Satay Ayam dan Satay Daging lengkap bersama nasi himpit, kuah kacang, timun dan bawang di samping Sup Campur Istimewa yang menawarkan pilihan daging batang pinang, tulang rawan, perut lembu dan urat keting lembu disertai pelbagai jenis mi dan bahan iringan bagi memenuhi citarasa setiap tetamu.
Bagi melengkapkan pengalaman berbuka puasa, Royale Chulan Seremban menyediakan pelbagai pilihan pencuci mulut tradisional seperti kuih-muih warisan, serawa durian bersama pulut pandan, putu kacang, biskut makmur, kuih bahulu selain aneka buahan segar dan kurma.
Abd Halim turut mengulas sambutan Food Preview Ramadan tahun lalu bahawa maklum balas yang diterima daripada pihak media, rakan korporat dan tetamu jemputan amat memberangsangkan, khususnya dari segi kepelbagaian menu, kualiti rasa dan tahap perkhidmatan yang ditawarkan.
“Daripada maklum balas itu, ia menjadi dorongan kepada pihak hotel untuk terus mempertingkatkan mutu sajian serta pengalaman pelanggan bagi memastikan Buffet Ramadan 2026 tampil lebih berkualiti dan menyeluruh,” tambahnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun buffet ini berteraskan masakan tradisional Melayu, hidangan yang disediakan bersifat universal dan sesuai dinikmati oleh semua kaum.




