Ruby F&B and Event Space, inisiatif memperkukuh sektor pelancongan dan perhotelan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa percaya bahawa kekuatan sesebuah industri tidak hanya bergantung kepada dasar dan strategi kerajaan semata-mata.
Kejayaan sesebuah ekosistem pelancongan sangat bergantung kepada kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, serta sinergi strategik antara sesama pemain industri itu sendiri.
Dalam konteks ini, pelancaran Ruby F&B and Event Space bukan sahaja melambangkan semangat keusahawanan, tetapi juga membuka ruang luas untuk Ruby menjalin kolaborasi dengan lebih banyak hotel, pengusaha pelancongan dan penyedia perkhidmatan hospitaliti yang memerlukan sinergi seumpama ini.
Pendekatan ini bukan sahaja membawa manfaat ekonomi, bahkan memperkukuh daya saing dan daya tarikan destinasi negara kita di peringkat global.

Ruby F&B and Event Space – Pemangkin Pengalaman Pelancong
Kemudahan seperti Ruby F&B and Event Space membawa nilai yang jauh melangkaui fungsi asalnya sebagai ruang menjamu selera atau lokasi acara.
Ia merupakan platform penting dalam membentuk pengalaman pelancong yang menyeluruh, sama ada melalui penyediaan sajian tempatan yang autentik, suasana mesra pengunjung, mahupun penganjuran pelbagai aktiviti dan acara yang memberi impak positif kepada sektor pelancongan.
Selain itu, projek sebegini turut memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan, serta memperkasakan penglibatan usahawan kecil dan sederhana. Semua ini selari dengan matlamat nasional untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara.

Selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026)
Kita kini berada di fasa penting dalam persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang menyasarkan kehadiran jutaan pelancong dari seluruh dunia.
Bagi mencapai hasrat besar ini, inisiatif seperti Ruby F&B and Event Space adalah contoh projek yang tepat pada waktunya.
Ia bukan sahaja memperkukuh rangkaian kemudahan pelancongan, malah turut melengkapi perkhidmatan hospitaliti sedia ada dan menjadi pelengkap penting kepada daya tarikan destinasi tempatan.
Saya yakin, dengan komitmen Ruby dan Hotel Seed Premier untuk terus memberi perkhidmatan terbaik, kita mampu menampilkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja indah dan kaya budaya, tetapi juga menawarkan hospitaliti bertaraf dunia.
MOTAC ingin menyeru lebih banyak pihak swasta untuk tampil ke hadapan dan mengamalkan pendekatan kolaboratif serta berpaksikan sinergi.
Hanya dengan gabungan usaha dan kekuatan inilah kita dapat memastikan sektor pelancongan Malaysia terus berkembang pesat, berdaya saing, dan menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran negara.
MOTAC ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Ruby atas pelancaran Ruby F&B and Event Space ini.
Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam ekosistem pelancongan negara.



