Berita

Sambutan ulang tahun ke-70 DBP Zon Tengah berlangsung meriah di Kuala Pilah

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

KUALA PILAH: Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peringkat Zon Tengah berlangsung meriah dalam satu majlis perasmian yang diadakan di Pentas Utama, Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, di sini, petang semalam.

Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, M K Ibrahim.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim; Ahli Dewan Negara, Jufitri Joha; Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Mohd Salehuddin Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Zulfa Hamzah serta Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin.

Majlis tersebut turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti setempat, kakitangan kerajaan, agensi sekitar Kuala Pilah, mahasiswa, pelajar kolej dan sekolah, selain kanak-kanak prasekolah dan tadika serta warga kerja DBP dari ibu pejabat.

Acara perasmian diserikan dengan perarakan masuk tetamu kehormat yang diiringi paluan muzik pacik, di samping penampilan pelajar perempuan berpakaian telepuk. Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan lima pahlawan bahasa yang membawa lima naskhah buku signifikan kepada DBP untuk dipersembahkan kepada tetamu kehormat.

Selain itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan teater “Pengisahan Za’ba Jauhar Pahlawan Bahasa” yang menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Syahidatul Munirah Badrul Munir, Fattah Fawzy, Norliza Yamin, Suffian Khirham dan Syukri Idris.

Majlis perasmian tersebut diakhiri dengan persembahan lagu ‘Dewan Bahasa Tempat Naungan’ ciptaan Syukri Idris dengan lirik oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir, sekali gus menutup sambutan dalam suasana penuh semangat memartabatkan bahasa dan sastera negara.

Show More

Related Articles

Back to top button