Seiring sejalan antara kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat

Setinggi-tinggi kesyukuran atas segala nikmat dan kekuatan yang yang telah membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2025.
Berkat semangat ‘segulai sejalai’ (seiring sejalan) antara kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan segenap lapisan rakyat – Malaysia mampu mendepani apa jua cabaran untuk terus melangkah maju ke hadapan.
Hasil usaha bersama ini, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada suku ketiga 2025, meningkat daripada 4.4 peratus pada suku kedua, dipacu oleh prestasi kukuh merentas semua sektor utama ekonomi.
Alhamdulillah perjalanan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sudah mencecah usia tiga tahun.
Perjalanan ini bukan mudah dan masih panjang, namun kerajaan akan terus komited memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, banyak peristiwa penting sepanjang tahun 2025 ini yang wajar kita cermati.
Beberapa negara seperti United Kingdom dan Jerman masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi perlahan, manakala Argentina terus berdepan krisis inflasi dan keyakinan pasaran.
Di Sri Lanka, pemulihan pasca krisis hutang kekal rapuh. Ketegangan geopolitik dan konflik berpanjangan di Timur Tengah pula menjejaskan keselamatan tenaga dan rantaian bekalan global.
Iktibar untuk Malaysia jelas iaitu kestabilan politik, perpaduan rakyat dan pengurusan ekonomi yang berhemah adalah benteng utama negara.
Negara yang bersatu dari dalam, menjaga sensitiviti masyarakat majmuk, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat akan lebih berdaya tahan menghadapi cabaran global yang tidak menentu.
Tahun 2025 turut mencatat kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang diiktiraf antara penganjuran terbaik.
Malaysia berjaya mengembalikan fokus ASEAN kepada keutamaan bersama seperti kestabilan ekonomi, keselamatan makanan dan tenaga, sekali gus mengukuhkan peranan ASEAN sebagai kuasa penstabil serantau.
Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di mata dunia, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik yang dipercayai serta membuka peluang ekonomi dan kerjasama yang lebih luas demi kesejahteraan rakyat dan masa depan serantau yang mampan.
Bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) telah mencatat pencapaian bersejarah, termasuk pelancaran APAEC 2026–2035, pemeterian ASEAN Power Grid Enhanced MoU, ASEAN Petroleum Security Agreement (Successor Agreement), serta pelancaran ASEAN Power Grid Financing Initiative dengan kerjasama ADB dan Bank Dunia.
Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan diplomatik tetapi satu manifestasi kepimpinan Malaysia dalam memacu agenda tenaga ASEAN ke arah masa depan yang inklusif dan lestari.
PETRA akan terus memperkasakan agenda peralihan tenaga dan pada masa sama, mempergiat usaha mentransformasikan pengurusan sumber air negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Terima kasih sekali lagi atas sokongan dan kepercayaan rakyat Malaysia.
Insya Allah, kita akan terus menginjak ke tahun 2026 dengan semangat dan kebersamaan yang lebih kuat lagi, serta melakar lebih banyak pencapaian demi negara tercinta.
Kita semua punya peranan untuk memastikan ikatan perpaduan yang utuh, akan terus menjadi asas kekuatan kita.
Sesungguhnya tujuan kita diamanatkan sebagai khalifah di muka bumi ini adalah untuk terus berjasa dan berbakti, sebagaimana firman Allah SWT: ‘Dialah yang menjadikan kamu dari bumi dan menugaskan kamu untuk memakmurkannya’ (Surah Hud: 61).
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026
Dato’ Sri Fadillah Yusof,
Timbalan Perdana Menteri
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air



