SMAN Komited Perkasa Agenda TRAJU Lahir Pelajar Cemerlang
SEREMBAN: Sekolah Menengah Agama Negeri Sembilan (SMAN) komited memperkasa Agenda Transformasi Anak JUARA (TRAJU) yang dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2028 dalam usaha melahirkan generasi pelajar cemerlang dan berdaya saing.
Menerusi hantaran di media sosial, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memaklumkan tiga institusi terlibat dalam pelaksanaan agenda berkenaan iaitu Sekolah Agama Berasrama Penuh Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (SABP MANS), Maahad Al-Murtadza Negeri Sembilan (MAAMUR) serta Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN).
“Ketiga-tiga institusi terbabit telah menyertai sesi libat urus anjuran Bahagian Pendidikan JHEAINS bagi memperincikan pelaksanaan agenda tersebut.
“Agenda strategik ini memberi penekanan kepada pembentukan modal insan holistik berteraskan lima nilai utama JUARA iaitu jujur, usaha, amanah, rajin dan adab,” kata kenyataan itu.
Sebagai simbolik pelaksanaan di peringkat sekolah, dokumen rasmi Agenda TRAJU turut diserahkan kepada kepimpinan institusi terlibat termasuk pengetua ITQAN, pengetua SABP MANS serta wakil pengetua MAAMUR.
“Kerangka panduan itu jugabakal memacu beberapa fokus utama termasuk peningkatan prestasi akademik secara menyeluruh, pengukuhan profesionalisme warga pendidik serta pembinaan ekosistem sekolah yang sejahtera dan berteraskan pendigitalan.
“Kami optimis pelaksanaan agenda ini mampu memastikan institusi pendidikan Islam negeri kekal relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa,” tambahnya.
Pihaknya yakin pelaksanaan program berfokus di bawah Agenda TRAJU diyakini dapat memperkukuh peranan institusi pendidikan negeri sekali gus merealisasikan aspirasi Sekolah Sejahtera, Anak JUARA.




