BeritaProgram

Suara rakyat, suara keramat: AMINUDDIN

SHAH ALAM: Naib Presiden KeADILan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai sebuah parti politik, pilihan raya adalah wadah atau medan utama perjuangan KeADILan.

“Sudah tentu menang adalah matlamat kita bila memasuki medan perang Pilihanraya.

“Untuk menang kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat sebagai mampu memberi harapan penyelesaian masalah yang melanda.

“Kebolehnampakan para aktivis parti di lapangan aktivisma perlu terus disuburkan. Turun ke padang santuni rakyat dengan ihsan, mendengar suara mereka.

“Kita perlu ambil iktibar daripada sirah Nabi Sulaiman sehinggakan mampu berperanan sebagai the silent government hatta mendengar suara daripada semut yang turut menjadi rakyat mereka,” katanya.

Aminuddin berkata demikian di ucapan penggulungan Kongres KeADILan Nasional yang ke-16 di Shah Alam.

Menurut Aminuddin lagi, di waktu-waktu yang sukar ini, anggota KeADILan harus dapat memainkan peranan efektif, mendengar luahan, bebanan, penderitaan yang ditanggung mereka dan berusaha sedaya keras untuk memecahkannya.

Justeru, kongres ini adalah platform terbaik untuk bermuhasabah, menegur, meluruskan dan memugar semangat perjuangan demi kelangsungan parti.

“Bagi yang terus kekal bersama di saat menang dan kalah, jatuh atau bangun, sendiri atau bersama andalah reformis sebenar.

“Ayuh, kita buka lembaran baharu. Terlalu banyak perkara dan kerja yang perlu dilaksanakan.

“Kita berdepan dengan pelbagai masalah bersama yang menuntut penyelesaian. Ayuh sama-sama kita buang yang keruh dan ambil yang jernih.

“Negara pada ketika ini amat memerlukan kita untuk bersama-sama dalam menghadapi krisis yang sedang melanda,” ujar beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button