Transformasi wanita dalam industri Halal

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr.Noraini Ahmad telah merasmikan Penutup Program WHI Grand Kick Off Series 2025: Transformasi Wanita Dalam Industri Halal anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) bertempat di Auditorium Menara Dato’ Onn, WTC Kuala Lumpur.
Women In Halal Industry (WHI) ini ialah inisiatif HDC yang memfokuskan kepada pembangunan kapasiti, kepimpinan dan penyertaan aktif golongan wanita dalam ekosistem industri halal.
Program ini bertujuan membuka ruang lebih luas kepada usahawan, profesional dan bakat wanita untuk terlibat dalam rantaian nilai halal merangkumi pembuatan, logistik, perkhidmatan, teknologi serta pensijilan.
Melalui latihan berstruktur, bimbingan industri, rangkaian strategik dan peluang perniagaan, WHI berperanan memperkukuh keupayaan wanita agar lebih kompetitif, berdaya saing dan mampu memacu pertumbuhan sektor halal negara.
Inisiatif ini turut menyokong agenda nasional memperkasa wanita sebagai peneraju ekonomi halal di peringkat domestik dan global.
“Syabas diucapkan kepada pihak Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Sekretariat Women in Halal Industry (WHI) di atas usaha dalam memastikan program ini berjalan dengan jayanya.
“Tahniah juga diucapkan buat semua usahawan wanita yang hadir mengikuti program ini.
“Saya difahamkan sepanjang dua hari, para peserta telah menunjukkan semangat tinggi, komitmen, dan keterujaan dalam setiap sesi, daripada perkongsian ilmu, latihan, sehingga sesi membina jaringan strategik.
“Semoga segala ilmu, pengalaman, dan jaringan yang diperoleh sepanjang dua hari memberi manfaat yang berpanjangan buat semua usahawan,” kata Noraini.
Turut bersama hadir ke program ini ialah Pemangku Pengerusi HDC, Dato’ Azhari Dato’ Shaari; Ketua Pegawai Komunikasi Korporat HDC merangkap Pengarah Projek WHI, Nora’shekin Yusof; mentor-mentor WHI dan rakan-rakan strategik WHI.



