BeritaMenarik

145 pasukan bertanding di Pesta Bola Ngoca 2024

KUALA PILAH: Pesta Bola Ngoca 2024 yang diadakan di Perkampungan Budaya Terachi, berjaya menarik penyertaan 145 pasukan dari seluruh negara.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat mencemar duli ke Pesta Bola Ngoca 2024.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pesta ini merupakan acara tahunan yang telah menjadi salah satu acara utama ‘Calendar of Events’ Pelancongan Negeri Sembilan yang saban tahun semakin meriah dengan pelbagai acara dan peningkatan pengunjung dari seluruh Malaysia dan luar Negara.

“Menyingkap kembali acara ini, ia mula diadakan pertama kalinya di Empang Bangkung, Kampung Juasseh pada tahun 2019.

“Saya telah turun pertama kalinya untuk mengoca di Kuala Pilah dan saya melihat ada potensi besar pada acara ini untuk di bawa ke hadapan.

“Maka semasa pembentangan bajet tahun 2021, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan pertama untuk kemudahan tapak mengoca,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, sehingga tahun 2024 bajet keseluruhan pembangunan di bawah Kerajaan Negeri adalah lebih kurang RM3.08 juta dan hasilnya adalah apa yang tuan-tuan dapat rasai pada hari ini.

“Ia telah hampir lengkap dengan fasiliti sebagai sebuah Stadium Bola Ngoca pertama seumpamanya di Malaysia.

“Semoga pengurusan destinasi pelancongan yang unik ini dapat dilaksanakan dengan baik dan dimanfaatkan oleh pelbagai pihak untuk mengadakan program yang bersesuaian di sini.

“Dalam pada itu, tahniah kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah yang telah memulakan inisiatif menjenamakan Ngoca Kuala Pilah dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Insya Allah enam bulan lagi, kita boleh menggunakan simbol R pada logo Ngoca dan ia menjadi satu hak cipta kepada logo dan aktiviti ngoca di Kuala Pilah,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Pesta Bola Ngoca 2024 yang diadakan selama dua hari iaitu pada 14 dan 15 September.

Bagi sukan bola sawah, juara pasukan lelaki akan membawa pulang RM15,000 manakala juara pasukan wanita pula akan menerima RM8,000.

Selain itu, pelbagai acara sampingan turut dipertandingan seperti acara tangkap itik, ngoca ikan, menyumpit, gusti bantal, lempar tin, basikal titi dan acara baru iaitu Tarik Tali Ngoca.

Pada tahun hadapan, akan ada satu lagi aktiviti baru yang lebih menarik dengan siapnya Titi Hayun yang sedang dalam pembinaan.

Show More

Related Articles

Back to top button