Berita

20 pelajar miskin terima sumbangan Akaun SSPN dan beg sekolah

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menyampaikan sumbangan berupa akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan beg sekolah kepada 20 pelajar sekolah rendah dan menengah di Majlis Bantuan Kasih Rahmah di Seremban.

Aminuddin berkata, pelajar-pelajar ini merupakan anak-anak kepada 14 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar di dalam sistem eKasih, dan termasuk dalam kategori 335 penerima sumbangan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan beg sekolah seluruh Negeri Sembilan.

“Program Bantuan Kasih Rahmah: Kembali Ke Sekolah Tahun 2023 bersama PTPTN merupakan satu inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) melalui Program ‘I Care For U’ yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) ICU JPM dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pada tahun ini, seramai 335 orang pelajar daripada 247 KIR seluruh Negeri Sembilan menerima manfaat berupa sumbangan pembukaan akaun SSPN bernilai RM100 dan beg sekolah sumbangan PTPTN.

“Program ini merupakan kesinambungan kepada program penyerahan sumbangan ‘kembali ke sekolah’ yang telah diadakan pada 7 Mac lepas di Port Dickson,” kata Aminuddin.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menyampaikan sumbangan di bawah Program Bantuan Kasih Rahmah: Ziarah Kasih Ramadhan kepada 15 KIR miskin tegar dari DUN Sikamat, DUN Ampangan dan DUN Paroi.

“Setiap penerima akan menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100 di samping kuih raya bagi membantu perbelanjaan mereka semasa menjalani ibadah puasa dan persiapan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.,” ujar Aminuddin.

Sementara itu, PPNNS dalam kenyataannya berkata, kerajaan sangat komited dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan bagi mencapai sifar miskin tegar menjelang tahun 2025, di samping menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat.

Pelaksanaan ini juga seiring dengan hasrat YAB Menteri Besar Negeri Sembilan ke arah mencapai miskin tegar sifar di Negeri Sembilan menjelang akhir tahun 2023.

Sumbangan Ziarah Kasih Ramadhan merupakan inisiatif PPNNS dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

 

Show More

Related Articles

Back to top button