SIKAMAT: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengumumkan pengurangan kadar sewaan sebanyak 50 peratus untuk penduduk Taman Coral Heights bagi penggunaan Dewan Komuniti Coral Heights.
Aminuddin berkata, penduduk di taman perumahan tersebut hanya perlu bayar RM2,250 bagi sewaan dewan berbanding jumlah asal RM4,500.
“Pembinaan Dewan Komuniti ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam melengkapkan kemudahan di taman perumahan ini.
“Saya berharap dewan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang membawa manfaat kepada semua penduduk dan saya juga meminta penduduk menjaga fasiliti kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin supaya ianya dapat dimanfaatkan dalam jangka masa yang lama.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memelihara kepentingan masyarakat dan memahami kehendak serta keperluan penduduk.
“Sehubungan dengan itu, saya meminta agar dewan komuniti ini ‘dhidupkan’ dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” kata Aminuddin.
Dewan Komuniti Coral Heights dibina melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4 juta dan dewan ini berkeluasan 1,845 meter persegi berkapasiti 800 orang serta dilengkapi dengan kemudahan seperti berikut:-
1) Bilik mesyuarat.
2) Pejabat.
3) Bilik persalinan.
4) Bilik alatan.
5) Pentas.
6) Tandas lelaki, wanita dan OKU.
7) Empat gelanggang badminton.
8) Gelanggang futsal.
9) 83 unit tempat letak kereta.
10) 33 unit tempat letak motosikal.