Berita

200 penerima di Palong terima sumbangan ihya’ ramadan berjumlah RM34,200

PALONG: Seramai 200 penerima terdiri daripada anak yatim dan ibu tunggal di FELDA Palong 12 dan 13 menerima sumbangan kebajikan sempena Aidilfitri menerusi Program Jelajah Ihya’ Ramadan anjuran Ehsan Group Of Companies yang berlangsung di Masjid Nur Hidayah, di sini.

Program yang memasuki tahun ke-9 penganjurannya di kawasan Palong itu turut menyalurkan keseluruhan sumbangan berjumlah RM34,200 bagi membantu golongan memerlukan termasuk warga emas serta pelajar pendidikan khas daripada Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Dalam majlis berkenaan, seramai 100 anak yatim dan 100 ibu tunggal menerima sumbangan wang tunai serta beras yang disampaikan oleh Pengerusi Ehsan Group Of Companies, Dato’ Haji Abdul Hamid P.V Abdu bersama isteri.

Turut menerima bantuan ialah 100 warga emas sekitar FELDA Palong 12 dan 13 menerusi Sumbangan Aspirasi Warga Emas sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan tersebut.

Selain itu, seramai 50 anak yatim serta pelajar pendidikan khas daripada PPDK turut menerima bantuan sebagai usaha membantu meringankan beban mereka.

Program kebajikan tersebut turut dihadiri Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Haji Mustapha Nagoor yang juga ADUN Angkat DUN Serting.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Ehsan Group atas komitmen berterusan dalam menjayakan program kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Show More

Related Articles

Back to top button