Berita

31 Pemilik Tanah Terima Hakmilik Freehold

Sambutan Hari Tanah Negara Peringkat Negeri 2025 diraikan di Dataran Nilai, Negeri Sembilan dengan menonjolkan aktiviti Cabutan Bertuah Mega Kempen Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah 2025.

Hadiah utama sebuah motosikal MODENAS beserta 15 hadiah menarik disediakan untuk pembayar cukai tanah bertuah.

Selain itu, seramai 31 pemilik tanah turut menerima Geran Hakmilik Tanah (Freehold) menggantikan status pajakan sebelum ini.

Majlis disempurnakan perasmiannya oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun. Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil daripada manifesto Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada 2018 yang telah berjaya meluluskan 4,154 permohonan dengan kutipan hasil sebanyak RM5.5 juta.

Dasar ini terbukti berjaya dilaksanakan dan menjadi inisiatif unik di Malaysia untuk membela kebajikan rakyat.

“Pencapaian Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) termasuk anugerah Penghargaan Pindah Milik 1 Hari 100% bagi tahun 2024 daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG)”. katanya

“Inovasi terkini seperti Kiosk Pintar HEMAT ePTGNS membuktikan keberkesanan teknologi dalam mempermudah urusan rakyat dan meningkatkan kutipan hasil negeri daripada RM68,307 pada 2024 meningkat kepada RM289,362 pada 2025,” tambah beliau.

Beliau turut memaklumkan Kiosk Pintar baru-baru ini turut memenangi Pingat EMAS dalam 5th Innovation Bank Challenge (IBC) 2025 sempena Festival of Ideas 2025 anjuran USIM.

Kiosk ini memberikan nilai tambah terhadap perkhidmatan sedia ada di kaunter Pejabat Tanah termasuk membayar cukai tanah, bayaran pelbagai, membuat carian persendirian dan menyemak perserahan.

YAB Menteri Besar menyeru semua pihak agar menghargai pengurusan tanah dan sumber air sebagai aset strategik negeri demi pembangunan lestari dan kesejahteraan rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button