BeritaYB Kita

324 warga emas terima sumbangan RM64,800 daripada Teo

BAHAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong telah menyerahkan Bantuan Keceriaan Warga Emas Negeri Sembilan RM200 kepada 324 warga emas berusia 70 tahun ke atas dari DUN Bahau.

Sumbangan warga emas ini melibatkan 97 orang dari sekitar Bandar Bahau, Kampung Batu Kikir (92), Kampung Jambu Lapan (47), Kampung Kuala Jempol (27), Kampung Lonek (25), Kampung Kuala Sialang (20) dan Kampung Kuala Kepis (16).

Teo berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menitikberatkan kebajikan golongan warga emas melalui pelbagai inisiatif, termasuklah program ‘Bantuan Keceriaan Warga Emas Negeri Sembilan’, agar mereka tetap dapat merasai kehangatan masyarakat dan keprihatinan kerajaan pada usia emas mereka.

“Diharapkan sumbangan kecil ini dapat sedikit sebanyak membantu serta membuatkan mereka berasa dihargai dan disayangi.

“Sepanjang sesi ziarah dan pertemuan tersebut, saya juga berpeluang mendengar perkongsian kisah kehidupan dan pengalaman mereka yang amat menyentuh hati.

“Ketabahan warga emas ini merupakan contoh dan teladan yang sangat baik untuk generasi kita hari ini.

“Semoga setiap warga emas sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, hidup dengan aman dan sejahtera serta menikmati usia emas dengan penuh ketenangan,” ujar beliau.

Dalam pada itu Teo juga menasihatkan masyarakat terus memupuk semangat menghormati dan menyayangi warga emas, agar nilai kasih sayang ini terus subur dalam komuniti setempat.

“Golongan warga emas merupakan khazanah berharga dalam masyarakat.

“Ketika usia muda, mereka telah banyak berkorban dan berusaha demi keluarga serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

“Mereka juga mewariskan pengalaman serta kebijaksanaan yang amat bernilai kepada generasi seterusnya.

“Setiap warga emas boleh dikatakan sebagai saksi sejarah, serta tonggak penting dalam mengekalkan kestabilan masyarakat dan nilai kekeluargaan,” ulas beliau.

Teo berkata, nilai-nilai murni, kebijaksanaan hidup dan pengalaman yang diwariskan oleh warga emas membolehkan masyarakat terus melangkah ke hadapan.

“Oleh itu, menghargai dan menghormati warga emas bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, malah merupakan nilai yang wajar diamalkan bersama oleh seluruh masyarakat,” kata Teo.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button