BeritaMenarik

33 pengusaha di Pantai Teluk Kemang terima payung pantai dari Arul Kumar

PORT DICKSON: Port Dickson mempunyai 11 pantai peranginan dan sebelum ini 3 pantai, iaitu Pantai Teluk Kemang, Pantau Tanjung Biru dan Pantai Cermin mempunyai isu khemah biru dan viral dengan pelbagai reaksi netizen dan pengunjung.

Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan pemasangan khemah biru atau payung di Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.

Pantai Teluk Kemang juga tidak dibenarkan untuk pemasangan khemah biru tetapi digantikan dengan payung pantai yang lebih menarik dan tersusun.

Justeru itu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar telah menyerahkan lapan payung, 16 kerusi dan lapan meja kepada setiap pengusaha yang melibatkan 33 pengusaha di Pantai Teluk Kemang.

“MPPD telah menyediakan 33 plot dan setiap perniagaan payung pantai dibenarkan di plot tersebut sahaja dengan syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh MPPD.

“Pantai Teluk Kemang mempunyai pantai sepanjang 1.2 kilometer dan penyediaan 33 plot ini melibatkan 600 meter sahaja.

“Ini bermaksud hanya separuh pantai sahaja daripada keseluruhan Pantai Teluk Kemang mempunyai plot untuk pemasangan payung pantai dan separuh lagi masih terbuka.

“Keputusan ini adalah satu keputusan win-win melibatkan semua pihak, iaitu MPPD, pengusaha dan pengunjung,” jelas Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, memang ada pandangan tidak bersetuju dengan kebenaran payung pantai ini juga.

“Tetapi kita juga perlu mengambil kira kesan kepada 33 pengusaha yang bergantung kepada sumber pendapatan ini lebih 10 tahun.

“Tetapi dalam pada masa sama pengusaha juga perlu patuh kepada setiap arahan MPPD dan tidak boleh menutup atau memonopoli mana mana kawasan di pantai awam tersebut.

“Penyerahan payung pantai ini adalah sumbangan daripada MPPD untuk menyelesaikan isu khemah biru yang telah berlarutan lebih lima tahun,” kata Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button