40 kanak-kanak PAKK Lobak dan Mantin jayakan Program Bowling Merdeka

BANDAR SRI SENDAYAN: Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Lobak telah menganjurkan Program Bowling Sempena Kemerdekaan yang berlangsung dengan penuh semangat patriotik di D’Tempat Country Club.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 60 peserta, terdiri daripada 40 orang kanak-kanak dari PAKK Lobak dan Mantin serta 20 orang dewasa, termasuk petugas, ibu bapa dan sukarelawan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ikon Muda Negeri Sembilan, Norshela Zakariah dan Pengerusi Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Julindah Ahmad, yang sama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan bersama anak-anak generasi pewaris negara.
KWIM turut menaja dan menyumbangkan hadiah-hadiah menarik kepada peserta yang mengambil bahagian, sekali gus menyuntik semangat kesukanan dan kegembiraan kepada semua yang terlibat.
Menurut wakil penganjur, program ini bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan kanak-kanak melalui aktiviti sihat dan interaktif.
Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dan memperkasakan nilai-nilai perpaduan sejajar dengan semangat Malaysia MADANI.