Berita

440 Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari JPKK dapat ‘Bonus Raya’

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengumumkan ‘Bonus Raya’ kepada 440 Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, saya dengan ini mengumumkan sagu hati kepada 440 Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari JPKK di seluruh Negeri Sembilan.

“Pengerusi JPKK akan menerima RM500, Setiausaha JPKK pula RM300, manakala Bendahari JPKK sebanyak RM200,” kata Aminuddin.

Aminuddin mengumumkan berita baik ini di Majlis Amanat YAB Menteri Besar bersama Kepimpinan JPKK Negeri Sembilan 2025-2027 di Klana Resort.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku atau penyelewengan.

Kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga, dan ia hanya dapat dipelihara melalui pentadbiran yang bersih.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan yang tegas.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa telah berlaku kes penyelewengan Dana SEJATI MADANI yang melibatkan JPKK sebelum ini.

“Kes ini telah memberi kesan besar kepada imej kerajaan dan merosakkan kepercayaan rakyat.

“Perkara ini tidak boleh dan tidak akan berulang. Dana SEJATI MADANI adalah amanah rakyat untuk membangunkan komuniti, bukan untuk kepentingan peribadi

“Sekiranya berlaku sebarang penyelewengan, salah guna kuasa atau pelanggaran integriti, saya tidak akan teragak-agak untuk meminta SPRM mengambil tindakan tegas, tanpa mengira jawatan atau kedudukan. Ini adalah pendirian Kerajaan Negeri,” ujar Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button