450 G1 Kontraktor Terima Surat Tawaran Kerja Undi Fasa 1 tahun ini

SEREMBAN – Sebanyak 450 kontraktor G1 tempatan menerima surat tawaran kerja undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di bawah Peruntukan Malaysia Road Record Information System (MARRIS) Kerajaan Negeri Sembilan.
Ia melibatkan kos keseluruhan RM45 juta bagi Fasa 1 Tahun 2026.
Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kerja Undi Fasa 1 itu berlangsung hari ini di Dewan Majlis Bandaraya Seremban susulan pelaksanaan Majlis Cabutan Kerja Undi Fasa 1 yang berlangsung di Wisma Negeri pada Selasa lalu.
“Sehingga kini, sebanyak 5,115 kerja undi telah ditawarkan kepada kontraktor G1 tempatan dengan nilai keseluruhan hampir RM498.9 juta,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membuka peluang secara adil dan saksama kepada kontraktor tempatan, khususnya kontraktor kecil, untuk berkembang dalam ekosistem pembangunan negeri.
Beliau berkata, amalan kerja undi MARRIS di Negeri Sembilan turut sering dijadikan penanda aras oleh negeri-negeri lain berikutan kaedah pelaksanaannya yang telus tersusun serta berteraskan prinsip tadbir urus yang baik.
“Pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan kelayakan dan merit tanpa sebarang kompromi terhadap integriti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua kontraktor bahawa setiap kontrak yang diterima merupakan wang rakyat dan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Saya tidak mahu melihat sebarang projek dilaksanakan secara sambil lewa, tidak menepati spesifikasi atau disubkontrakkan secara tidak sah.
“Kerajaan Negeri melalui agensi pelaksana tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak, penyahsenaraian serta tindakan undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran syarat kontrak,” tegasnya.
Menteri Besar Negeri Sembilan turut menasihatkan kontraktor supaya membuat perancangan rapi memandangkan bakal menjelang bulan Ramadan dan Syawal di mana pergerakan trafik dijangka meningkat.



